Codex

Interested in functions, hooks, classes, or methods? Check out the new WordPress Code Reference!

User:Saha-ini

WordPress Codex Logo

Perihal

These are about Bahasa Melayu and Saha-ini and it is written (mostly) in Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu (ms_MY)

Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara utama diguna pakai di negara Malaysia, di samping penggunaan Bahasa Inggeris (English), Bahasa Cina (kumpulan dialek), dan Bahasa Tamil. Untuk tahu lebih lanjut berkenaan bahasa malahan juga budaya di Malaysia, boleh ikuti pautan-pautan berikut.

Perihal Saha-ini

Saya selesa dikenali dengan nama Saha-ini. Tidak jauh berbeza dengan nama lahir saya iaitu Sahaini bin Ahmad Safian. Anda perasan dengan tanda sempang ¨-¨ pada nama Saha-ini; ini adalah untuk memudahkan anda menyebut nama saya. Saya dengan rasa rendah diri ingin berkongsi pengetahuan di dalam penggunaan Bahasa Melayu agar perkembangan positif ke arah memartabatkan Bahasa Melayu di dalam dunia maya mampu berdiri sama tinggi dengan perkembangan bahasa-bahasa lain. Keterlibatan saya di dalam penterjemahan bermula dengan minat dan mengisi masa terluang. Saya masih baru di dalam penterjemahan dan saya akui untuk menterjemah bait demi bait sesuatu teks pasti akan berhadapan dengan cabaran yang tidak boleh dipandang remeh. Terutamanya, terdapat banyak terma yang perlu melalui proses asimilasi untuk difahamkan secara tepat.Bahasa Melayu terkenal dengan lenggok bahasa yang berkias dan mempunyai gaya yang tersendiri dalam penyampaian penulisan akademik.

Latarbelakang Saha-ini

Saya pernah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti pada tahun 1999 dalam bidang Sains Komputer untuk kursus Integrasi Diploma/Sarjana. Berada di dalam era Internet di tahun-tahun lewat 90-an itu memberi ruang kepada saya untuk berkenal awal dengan aturcara seperti HTML, Perl, PHP, C, dan Pascal. Malahan pada usia kanak-kanak saya telah berkenalan dengan aturaca komputer asas LOGO dan BASIC. Bagi saya, mesin komputer dengan skrin warna monokrom bukanlah benda yang asing, tetapi benda yang masih mebuat saya teruja. Malahan saya berkesempatan bermain dengan cakera liat dan juga cakera liut sebelum era storan data melonjak dari media magnetik kepada media optik sekarang ini (2011). Masa pantas berlalu.

Bermula di peringkat universiti saya berminat dengan rekabentuk grafik berkomputer, fotografi SLR dan juga pengaturcaraan komputer. Bersama-sama rakan, kami mengambil inisiatif menterjemah semangat setiakawan dan berkongsi pengetahuan di dalam forum yang kami taja sendiri di www.kengkawan.com (Kengkawan-dot-com atau KDC). Kami berkongsi tentang pengaturcaraan HTML khasnya dan juga perkara-perkara lain sesuai dengan budaya kami di Malaysia. Laman sesawang Kengkawan-dot-com ditutup setelah mengalami pencerobohan sekuriti setelah kira-kira 5 tahun bermula. Dek kerana masing-masing tidak dapat menumpukan kepada projek sambilan KDC ini, ianya tidak lagi aktif. Walau bagaimanapun masing-masing sedang membina profil masing-masing dalam kepakaran dan bidang masing-masing. Sehingga kini saya masih rapat dan mendapat sokongan dari kawan-kawan KDC ini.

Penterjemahan oleh Saha-ini

Saya akui saya masih baru dalam menterjemah kepada Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun saya ingin mengorak langkah supaya penterjemahan dan penggunaan Bahasa Melayu seiring dengan bahasa-bahasa lain. Saya telah memulakan penterjemahan dengan Pemalam jQuery Colorbox bagi kemaskini versi 3.4 (2010-05-24) yang dibangunkan oleh Arne Franken, Techotronic. Seiring dengan itu saya juga menjadi penyumbang di Wordpress Malaysia. Bak kata pepatah warisan kami orang Melayu di Malaysia, Umur setahun jagung, darah setampuk pinang maka sewajarnya pacal ini tidak cukup telapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong ajarkan.

Hubungi Saha-ini

Saya boleh dihubungi dengan kaedah-kaedah elektronik berikut :

  1. E-mel
    • sahaini@inisahaini.com
  2. Laman sesawang
    • www.inisahaini.com

Bahasa Melayu dan WordPress

Saya berhasrat untuk melibatkan diri dengan cergas dalam menyediakan Bahasa Melayu dalam pilihan Multilingual_Codex dan seterusnya pakej WordPress di dalam Bahasa Melayu. Sebagai negara yang mementingkan pendidikan dan teknologi maklumat, saya harap ramai lagi yang sudi melibatkan diri dengan kerja-kerja penterjemahan begini. Seterusnya mempunyai komuniti yang mempunyai semangat setiakawan dan berkongsi pegetahuan untuk kebaikan sejagat, insyaAllah.


Kemaskini terakhir : Saha-ini 05:48, 19 July 2011 (UTC)